Kisah Hantu Mat Despatch

Cerita berlaku sekitar tahun 2004 dan 2005. Ia bermula semasa selepas aku tamat pengajian diploma di sebuah institusi pengajian awam dan bekerja untuk pertama kali. Walaupun kerja sebagai despatch sahaja, kerja dengan usaha lelah sendiri lain rasanya sebab aku pun bukan orang bangsawan. Seperti sedia maklum, kerja pertama tentulah rasa seronok dan teruja sangat. Memang aku tahu selok belok Kuala Lumpur sebab aku pun tinggal di pinggir kota.



Hendak dijadikan cerita, selepas solat Asar di pejabat, boss aku panggil sebab ada surat segera yang perlu dihantar pada klien petang itu juga. Disebabkan jam hampir menunjukkan jam 5 petang, boss memberi pelepasan untuk aku masuk kerja lewat esok sebab memang mat despatch tiada overtime. Rumah klien ini terletak dekat Kampung Tunku, Petaling Jaya, kira-kira 30 minit dari pejabat aku.

Walaupun terasa malas hendak menghantar surat jam 5 petang, ditambah dengan kesesakan trafik menghala ke Lebuhraya Persekutuan, aku gagahkan juga sebab boleh masuk lewat esok. Memang biasa rutin orang muda bangun lewat jadi inilah motivasi aku untuk hantar surat petang ini juga. Dalam perjalanan ke sana, aku dapati ada satu jalan dimana ada satu corner yang agak pelik pada perhatian aku.



Sebabnya, jalan itu kalau di bina lurus lebih memudahkan pengguna jalan raya tapi terdapat satu selekoh bagi mengelak sebatang pokok sahaja. Kawasan tepi pokok tu lapang sahaja. Semasa aku lalu untuk menuju ke rumah klien tiada apa-apa terjadi meskipun jalan itu agak sunyi. Namun semasa aku hendak pulang, jam sudah menunjukkan waktu 6 petang.

Aku melalui jalan itu semula dan ketika hendak menghampiri corner dan pokok itu ada sebuah motosikal memotong aku dengan agak laju. Kemudiannya penunggang motor itu terjatuh di hadapan aku. Sebagai manusia biasa, kalau melihat kemalangan berlaku di hadapan mata tentunya kita akan turun untuk membantu mangsa kemalangan.

Tetapi, apabila aku turun dari motor dan menghampiri mangsa yang sudah tertiarap di tengah jalan, aku dapati pelekat Orange pada helmet mangsa itu sama seperti aku. Mata aku kemudian melorot ke bawah dan mendapati sweater dan kemeja mangsa itu sama seperti aku. Malahan seluar dan kasut cikang dia pun menyerupai aku. Mata aku terus menjeling dan mendapati plat motor yang jatuh ke tepi jalan turut sama seperti no plat aku.

Aku kelu. Aku mengambil keputusan dan berundur perlahan-lahan ke arah motor aku. Orang yang tertiarap itu langsung tidak bergerak dan aku cuba start motorsikal aku namun tidak boleh. Sebab dah takut sangat, aku tolak motor tu sambil berlari ke arah jalan pulang. Agak jauh juga tapi sebab tak sedar aku dah sampai ke satu persimpangan yang ada traffic light. 



Di sana ada seorang hamba Allah di seberang jalan terlihat aku dan datang mendekati aku setelah melihat aku terduduk di bahu jalan. Dia menepuk bahu dan berkata 'kena tegur eh?'. Bulat mata aku memandang wajah hamba Allah tu dan beliau bercerita bahawa jalan yang baru aku lalui itu 'keras' sedikit. Seminggu aku demam lepas kejadian itu dan aku terus berhenti kerja selepas itu. (gambar sekadar hiasan)

Comments